SPR: Dua ADUN yang ditahan disyaki terlibat LTTE kekal sebagai wakil rakyat

Spread the love

GEORGE TOWN, 15 Okt — Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan polis kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), akan kekal sebagai wakil rakyat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata seseorang wakil rakyat itu hanya boleh hilang kelayakan sebagai ADUN atau Anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

“Seseorang wakil rakyat itu harus dituduh, dibicara, sabitkan kesalahan dan dihukum tetapi sekiranya ada rayuan, kita harus tunggu sehingga proses rayuan itu selesai di mahkamah baru keputusan akan diambil.

“Oleh itu, penahanan kedua-dua ADUN itu oleh pihak polis tidak akan menyebabkan mereka hilang kelayakan sebagai ADUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Demokrasi di Universiti Sains Malaysia hari ini.

Beliau berkata penahanan oleh polis bukan pensabitan kesalahan dan SPR akan mengikut peraturan yang sedia ada untuk menentukan kelayakan seseorang ADUN.

Pada 10 Okt lepas, tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Satu lagi penahanan polis pada 13 Okt lepas melibatkan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lepas adalah 12 orang.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.