Sibuk bertugas tidak halang petugas media mengundi di PRK Tg Piai

Spread the love

PONTIAN, 16 Nov — Dalam kesibukan membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, beberapa petugas media masih sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini.

Meskipun sibuk dengan tugas mereka, hak dan tanggungjawab sebagai pengundi tetap dilaksanakan dengan mencuri sedikit masa untuk hadir di pusat mengundi sekali gus memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Najihah Harun, 25, mengakui berasa teruja kerana buat pertama kali dapat mengundi setelah bergelar pengamal media dan berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas di sini sejak pukul 6 pagi.

“Satu pengalaman baharu sebab ini kali pertama mengundi dan pada masa sama bertugas membuat liputan PRK yang mana sebelum ini saya mengundi sebagai orang awam (bukan media) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Proses mengundi yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga baik, tak sampai lima minit dah selesai mengundi. Saya datang awal untuk mengundi sebelum kembali bertugas selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas mengundi.

Sementara itu, jurugambar Malaysia Gazette, Mohd Hazrol Zainal, 25, menzahirkan rasa teruja untuk mengundi biarpun sibuk menjalankan tugasnya.

Hazrol yang turut mengundi di SK Pengkalan Raja menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang menarik walaupun melaksanakan dua amanah besar, melaporkan berita dan mengundi, namun beliau tetap bersemangat untuk melunaskan tanggungjawab yang tertunggak ketika PRU14 kerana bertugas.

“Saya rasa sangat teruja kerana ini baru pertama kali dapat mengundi kerana semasa PRU14 saya tidak dapat mengundi akibat tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana membuat liputan di Muar.

“Saya tidak mahu mengundi melalui pos kerana saya ingin merasa suasana secara fizikal di kawasan saya sendiri dan saya ingin rasa jari dicelup,” katanya yang sudah membuat lapan liputan pilihan raya termasuk PRK dan PRU14.

PRK Parlimen Tanjong Piai menyaksikan sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.