INISIATIF KERAJAAN NEGERI PAHANG MENDEPANI WABAK COVID-19


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

 



Sembilan (9) lagi inisiatif oleh Kerajaan Negeri bagi bantu golongan terkesan COVID-19 di Pahang

 



1) Sukacita saya umumkan sembilan (9) lagi inisiatif yang Kerajaan Negeri putuskan, demi membantu golongan yang terkesan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

2) Kesembilan-sembilan inisiatif ini ialah di bawah Fasa 3 setelah 13 inisiatif diperkenal dan dilaksanakan sebelum ini iaitu di bawah Fasa 1, melibatkan lapan (8) inisiatif sepertimana telah saya umumkan pada 23 Mac 2020, dan di bawah Fasa 2 dengan lima (5) inisiatif yang telah saya umumkan pada 30 Mac 2020.

3) Kesemua sembilan (9) inisiatif terbaharu ini ialah –

i) Sumbangan masing-masing 1,500 kampit beras 5 kg setiap kampit, kepada pemimpin masyarakat di 14 kawasan Parlimen di Pahang yang akan melibatkan 21,000 orang penerima (1,500 kampit/penerima X 14 kawasan Parlimen) dengan nilai keseluruhannya, RM304,500

ii) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada seramai 426 orang yang dalam kalangan Pemandu Pelancong Semulajadi Taman Negara, Pemandu Pelancong Biasa dan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara.

Nilai peruntukan keseluruhannya untuk golongan berkaitan pelancongan ini ialah RM63,900.

iii) Barangan keperluan bernilai RM50 kepada 3,500 Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah Program Ziarah Prihatin. KIR yang terlibat ialah dalam kalangan mereka dikuarantin di rumah masing-masing yang di bawah kategori Pesakit Di bawah Pemantauan (PUS; Patient Under Surveillance).

Nilai peruntukannya pula ialah RM175,000.

iv) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melibatkan 3,500 orang penerima.

Nilai peruntukan ialah RM525,000.

v) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima.

Nilai peruntukan ialah RM465,000.

vi) Sumbangan tunai RM150 kepada 650 mahasiswa/i anak Pahang yang kekal tinggal di asrama kampus masing-masing ekoran akur kepada PKP.

Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM97,500.

vii) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bagi kawasan yang diperketatkan kawalan pergerakan dan sukar mendapatkan bekalan makanan. Jumlah terlibat dipuratakan 200 KIR setiap 11 daerah bersamaan 2,200 KIR di seluruh Pahang.

Nilai peruntukan ialah RM440,000.

viii) Sumbangan sebagai bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 kepada setiap 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi menguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada KIR sepertimana di atas.

Nilai peruntukan ialah RM55,000.

ix) Sumbangan RM30,000 sebagai membantu usahawan mikro ‘E-Hailing’ khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP.

4) Nilai peruntukan keseluruhannya bagi kesembilan-sembilan inisiatif terkini ini ialah RM 2.156 juta, serta melibatkan lebih 34,376 orang penerima.

5) Dengan sembilan (9) inisiatif terbaharu di bawah Fasa 3 ini, dicampurkan dengan 13 inisiatif di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini menjadikan keseluruhan nilai peruntukan untuk kesemua 22 inisiatif yang Kerajaan Negeri perkenal dan laksanakan setakat ini ialah sebanyak RM21.404 juta, serta melibatkan lebih 136,074 orang penerima.

6) Semoga dengan kesemua 22 inisiatif ini akan dapat membantu sedikit-sebanyak rakyat-jelata yang dalam kalangan pelbagai kaum, usia dan kerjaya, yang terjejas dengan tempoh PKP yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac yang kini dilanjutkan kepada 14 April.

7) Sukacita juga saya umumkan bayaran pendahuluan RM500 kepada 1,027 Imam Kariah di seluruh Pahang. Ini ialah sebahagian daripada RM1,000 Bayaran Khas ‘One Off’ yang turut terkandung dalam Belanjawan Negeri 2020 ketika pembentangannya pada Persidangan Dewan Negeri tahun lepas.

Para pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kini sedang giat menguruskan soal semakan dan pembayarannya. Sehubungan itu, pembayaran akan dibuat berperingkat-peringkat bermula Khamis, 9 April

8) Mengambil kesempatan ini, sekali lagi saya sarankan agar rakyat sekalian akan terus patuh kepada segala arahan PKP yang dengannya diharapkan, dapatlah kita sama-sama membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ini, In Sya Allah.



Leave a Reply

%d bloggers like this: