Kerajaan Kuat Kuasa Skim Harga Maksimum PKP Bermula Esok – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 14 April – Kerajaan akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok sehingga 28 April, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata skim itu akan memastikan harga 12 barangan keperluan harian dapat dikawal, seperti ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, tomato, kubis dan ikan kembung.

“Perincian mekanisme Skim Harga Maksimum PKP akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat mengenai sikap sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan keperluan, sewenang-wenangnya,” kata beliau pada sidang media harian PKP, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan tiada sebab untuk orang ramai membuat pembelian panik, kerana bekalan makanan dan keperluan asas harian, adalah mencukupi.

Beliau turut memaklumkan anggota penguatkuasa KPDNHEP membuat pemantauan dan pemeriksaan harian di 1,133 premis peniagaan, termasuk 844 peruncit, 260 pemborong dan 29 pengilang, semalam.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) e-bazar Ramadan, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Jelasnya mengikut kaedah e-bazar Ramadan yang dibenarkan, pembeli hanya perlu memesan makanan dan penghantaran akan dilakukan ke lokasi mereka.

“Sekiranya pembeli memesan dan keluar dari rumah untuk mengambil makanan, ini akan menyebabkan berlakunya pergerakan secara besar-besaran. Esok kita akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet. Kita akan tentukan apa yang boleh dan apa tak boleh.

“Ideanya adalah supaya rakyat tak boleh memberi alasan untuk keluar. Apabila sekatan jalan raya, mereka beri alasan ‘saya pesan barang jadi nak pergi ambil’. Jadi semua orang akan guna alasan yang sama,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: