UMNO bertanding PRK Dun Chini – Wan Rosdy

PEKAN, 14 Mei — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, mengesahkan bahawa UMNO akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata PAS tidak mempunyai masalah untuk UMNO bertanding mempertahankan kerusi itu walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan kedua-dua parti itu meletakkan calon.

“Kami tidak mempunyai masalah dalam menentukan siapa yang perlu bertanding kerana sudah ada persefahaman bahawa itu adalah kerusi tradisi UMNO. Pada PRU14, kami juga menang dengan majoriti selesa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wan Rosdy ditemui selepas menghadiri Majlis Cabutan Undi Lot Tanah Rancangan Berkelompok Bukit Udang, Mukim Penyor di Dewan Kampung Mambang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak.

UMNO dan PAS mula membentuk Muafakat Nasional sejak PRK Cameron Highlands pada Januari 2019 dan kerjasama itu diteruskan dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas itu.

Sementara itu, Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan berkata mereka ‘secara kasar’ sudah mengenal pasti beberapa nama yang sesuai diketengahkan sebagai calon, namun memerlukan masa untuk memperincikan perkara itu.

“Kami kena buat tinjauan kerana perkara ini berkisar dengan masyarakat di sini…akar umbi dan pemimpin setempat. Kami tidak tahu lagi siapa calon, namun yang mustahak proses (mencari) berjalan dan kami akan berbincang dengan Menteri Besar,” katanya.

Ditanya mengenai ura-ura di media sosial bahawa anaknya Datuk Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan akan bertanding di PRK Chini, Najib meminta supaya perkara itu tidak dimainkan kerana senarai calon belum dimuktamadkan.

“Jangan main isu anak atau siapa juga yang akan menjadi calon…yang mustahak senarai nama sudah ada walaupun hanya secara kasar,” katanya.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: