BERSATU SALING MENYERANG GUNA RAKAMAN AUDIO VIDEO – BUBAR JALAN TERBAIK

BERSATU Disyorkan Nama ‘Bercerai’ Ekoran Krisis Tun M Dan Muhyiddin

 

Sejak keluar dari Pakatan Harapan, kestabilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi tumpuan. Serangan terhadap Presiden parti bertali arus hampir setiap hari oleh Pengerusi BERSATU sendiri. Sehingga semalam, nada serangan Tun Mahathir tidak berubah sama sekali apabila mendakwa Presiden BERSATU tidak menuruti perlembagaan parti dalam membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan.

Dalam sidang media semalam, Mahathir seperti ‘Radio Rosak’ apabila hanya mengulang skrip sama dengan mengaitkan nama bekas Perdana Menteri Ke-6 Dato Sri Najib Razak dalam kerjasama Muhyiddin dalam kerajaan sekarang. Mengapa hanya nama Najib yang sering Mahathir ulang-ulang dalam setiap sidang media beliau? Seperti sumpahan nama Najib wajib ada dalam sidang media, bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir juga mengaitkan Najib sebagai dalang kejatuhannya sebagai MB Kedah.

Artikel berkaitan – KRISIS PAKATAN SIRI 1

Artikel berkaitan – KRISIS PAKATAN SIRI 2

Artikel berkaitan – KRISIS PAKATAN SIRI 3

Artikel berkaitan – KRISIS PAKATAN SIRI 4

Artikel berkaitan – KRISIS KEDAH

Artikel berkaitan – KRISIS KEDAH, MUKHRIZ TUDUH NAJIB PROTAGONIS

Serangan serangan Kem Tun M dihangatkan dengan penyebaran audio rakaman mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan namun sepanjang 2 jam mendengar audio tersebut apa yang jadi topik panas hanyalah peralihan kuasa Mahathir – Anwar. Ada kedengaran satu suara (mungkin BERSATU) mencadangkan untuk mereka (BERSATU) mencari haluan sendiri jika sekutu lain dalam PH masih bercakap soal peralihan kuasa. Disambut secara sinis oleh suara lain menyatakan mereka sudah biasa jadi pembangkang sebelum ini jika Pakatan Harapan tumbang kerana perpecahan dalaman.

Bagi membalas serangan sidang media semalam, hari ini tersebar pula rakaman audio Majlis Tertinggi dipercayai BERSATU. Dalam audio tersebut ada disebutkan mereka (BERSATU) sebenarnya tidak suka DAP dan Anwar lantas mengambil keputusan sebulat suara keluar dari Pakatan Harapan. Malah Setiausaha Agung BERSATU ketika itu turut memberi kenyataan media bagi mengesahkan BERSATU keluar daripada PH. Serang balas ini dipercayai untuk menangkis hujah Tun M semalam yang mendakwa Muhyiddin selaku Presiden BERSATU tidak merujuk keputusan kepada Majlis Tertinggi BERSATU.

Dalam perasmian Sidang Parlimen semalam, buat pertama kali BERSATU mempunyai wakil di kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang. Diketuai Tun Mahathir antara yang berada bersama blok pembangkang ialah bekas Menteri Belia dan Sukan dan bekas Menteri Besar Kedah. Ini menimbulkan tandatanya status dalam BERSATU memandangkan mereka bersama pembangkang. Kini maruah Presiden BERSATU diuji samada beliau akan bertindak berani atau hanya membiarkan onar terus dilakukan Tun M bagi menguatkan pengaruhnya dalam parti hingga mampu menyingkirkan Presiden BERSATU. Jika Muhyiddin tidak mengambil tindakan tegas, beliau akan dilabelkan sebagai seorang Presiden yang lemah sekaligus menjejaskan imej jawatan Perdana Menteri yang disandang. Mengenali susur galur politik Mahathir bukan mudah menundukkannya dengan hanya memecat keahlian parti namun Muhyiddin perlu tuntas bertindak bagi mengelakkan krisis menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara yang berdepan situasi pasca covid19. Krisis BERSATU juga menjadi bahan lelucon sesetengah pihak yang meminta nama BERSATU ditukarkan jadi ‘Bercerai’ ekoran tindakan ahli parlimen mereka bersama dengan pembangkang semalam. Malah ada yang mengaitkan dengan mitos nama perlu ditukar jika sering bergaduh atau jatuh sakit hingga jadi bahan tawa pengikut politik semasa.

Mungkin esok lusa akan ada rakaman audio atau video lain pula tersebar bagi membalas penularan audio hari ini. Seperti kembali ke zaman politik analog, rakaman demi rakaman digunakan bagi membela diri atau memburukkan pihak lain menjadi pilihan pihak yang bertelagah dalam BERSATU. Sampai bila hendak dipraktikkan permainan politik ini?

Semalam dalam titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong mengingatkan kerajaan hari ini perlu fokus membantu rakyat dan memajukan negara. Baginda sendiri telah menjelaskan kemelut politik tanahair hingga menyebabkan Baginda menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan krisis pada ketika itu. Menggunakan kuasa yang diperuntukkan, Baginda membuat keputusan bersandarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan tidak sepatutnya ada kritikan daripada mana mana pihak lain mempersoalkan kesahihan kerajaan hari ini. Baginda juga menggunakan frasa Kerajaan Beta” bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat jelata berkaitan apa yang telah berlaku Februari lepas. Justeru tidak perlu lagi ada perdebatan mana mana pihak berkaitan Titah Tuanku Seri Paduka.

Ibarat ‘Pisau Di Tangan’, Muhyiddin perlu bertindak bijak menangani krisis BERSATU dan memadamkan apa juga bentuk pemberontakan dalaman yang boleh menjejaskan fokusnya mentadbir negara. Membubarkan BERSATU merupakan jalan terakhir untuk menyekat kemaraan ‘gerila politik’ yang mampu menjatuhkan beliau dalam tempoh kurang setahun sebagai PM. Mungkin Muhyiddin boleh menimbangkan sebuah parti baru yang bebas daripada pengaruh Tun M dan mampu bekerjasama dengan parti lain seperti sekarang sekaligua menjamin kestabilan politik Malaysia.

Leave a Reply

%d bloggers like this: