Formula pelantikan Exco Kedah ikut konsensus PN pusat – Muhammad Sanusi

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR, 20 Mei  — Formula pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah yang baharu ditentukan oleh kepimpinan peringkat pusat mengikut konsensus parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) pusat.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya yakin pemilihan Exco yang dilaksanakan secara pantas dan aman tanpa sebarang masalah itu, menggabungkan individu mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalaman, mampu membentuk satu pasukan mantap.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kejituan Exco yang dipilih, ia akan melonjakkan negeri Kedah ke satu tahap lebih baik bermula hari ini,” katanya pada sidang media selepas majlis Angkat Sumpah Jawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata kebanyakan Exco yang dilantik mempunyai pengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini dan ia satu kelebihan kepada kerajaan PN Kedah.

“Ada Exco dilantik semula ke jawatan (portfolio) asal, sebagai kesinambungan daripada gerak kerja mereka yang dimulakan dua tahun lalu. Ini adalah kelebihan kepada PN sebab ada orang berpengalaman (dalam kerajaan) dan sedang melakukan tanggungjawab dia sebelum ini,” katanya.

Mengenai pelantikan tiga Exco wanita, Muhammad Sanusi berkata ia membuktikan bahawa PN Kedah menghargai keterlibatan mereka, sekali gus mencapai sasaran 30 peratus kuota wanita dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah diselesaikan dan pengumumannya akan dibuat pada sidang DUN akan datang.

Mesyuarat Exco pertama kerajaan negeri yang baharu turut diadakan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi mengingatkan rakyat Kedah agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama menjelang Aidilfitri ini.

“Bagi anak-anak Kedah yang berada di perantauan, berayalah di mana anda berada, tahun hadapan kita jumpa lagi,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: