MAHATHIR HANYA MAHU JADI PERDANA MENTERI KALI KE-3, APA NIAT SEBENAR?

Sampai Bila Mahu Berdendam Hanya Untuk Merebut Kuasa

Perkembangan mutakhir politik dalam Blok Bebas Pro Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir seperti tiada kesudahan selagi beliau belum berjaya mendapat balik jawatannya. Hampir saban hari serangan Mahathir terhadap 2 individu Tan Sri Muhyiddin dan Dato Sri Najib Razak jadi fokus seolah keruntuhan Pakatan Harapan bukan kerana beliau meletakkan jawatannya akhir Februari lepas.

Anwar Sahkan Audio Tulen

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim sendiri telah mengakui apa yang ditularkan dalam media sosial berkaitan rakaman audio mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah perkara benar. Dalam rakaman hampir 2 jam tersebut, terbukti apa yang jadi perdebatan hanyalah berkaitan kuasa, peralihan kuasa dan kuasa hingga langsung tidak menyentuh kegusaran, kerisauan dan kebajikan rakyat yang berdepan kemuncak pandemik Covid19. Ramai telah mendengar audio tersebut dan mereka agak terkejut kerana perbahasan mesyuarat tersebut tidak mencapai konsensus 100% kerana ada suara menyatakan BERSATU akan mengambil keputusan berbeza haluan dengan PH.

RAKAMAN AUDIO BERSATU

ROS SAHKAN MAHATHIR BUKAN LAGI PENGERUSI BERSATU

Apabila audio mesyuarat BERSATU mula disebarkan pihak tertentu dalam media sosial, jelas suara mirip suara Mahathir bersetuju agar mereka keluar dari PH dan sejurus mesyuarat selesai Setiausaha Agung BERSATU sendiri mengesahkan mereka menarik diri dari Pakatan Harapan atas persetujuan Majlis Pimpinan Tertinggi. Terbaru Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Mahathir bukan lagi Pengerusi BERSATU. Konflik BERSATU terus jadi hangat dengan apa yang disahkan ROS dan Mahathir tidak berdiam diri. Ibarat ‘Sudah Jatuh Di Timpa Tangga’ Mukhriz Mahathir sah bukan lagi Menteri Besar Kedah dan ini menambahkan lagi kemarahan Mahathir terhadap Muhyiddin dan Najib. Persoalannya konflik berlaku dalam BERSATU mengapa Najib juga diratib Mahathir dan Mukhriz?

Baca – MAHATHIR TERUSKAN UNDI TIDAK PERCAYA

Azmin Akan Ganti Tempat Muhkriz?

Kenyataan Mahathir tidak akan berhenti menyerang Muhyiddin seolah ‘Bom Jangka’ buat BERSATU. Seandainya Muhyiddin bijak ‘mematikan’ langkah Mahathir tindakan pemecatan boleh dilakukan dengan berani kerana ia akan sekaligus membersihkan BERSATU dari pengaruh ‘Mahathirisme’. Pembersihan total perlu dilakukan sebagai Presiden Parti bagi mengekang sebarang penentangan dalaman sehingga selesai pemilihan BERSATU. Mungkin Muhyiddin boleh memikirkan ‘tempat’ buat Azmin Ali bersama rombongannya dalam heraki BERSATU memandangkan penerimaan masuk mereka hanya ‘tali halus’ mengikat sokongan bagi Muhyiddin mendapat sokongan. Seandainya ‘Azmin n Co’ tidak berada dalam heraki tertinggi BERSATU, tidak mustahil Mahathir mampu memujuk mereka kembali menyokongnya sekaligus merealisasikan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada sessi Parlimen akan datang.

Najib Senyum Sambil Nikmati Super Ring

Mahathir juga menyerang Najib dengan mengingatkan Muhyiddin asas penubuhan BERSATU. Namun seperti diketahui umum, apa sahaja tuduhan Mahathir terhadap Najib semakin menjengkelkan rakyat. Proses perundangan masih berlangsung dan Najib tidak berada dalam kerajaan untuk mempengaruhi tindakan Mahkamah, malah Najib sempat menyindir Mahathir dengan hanya makan keropok ‘Super Ring’ Pakatan Harapan tumbang dari Kedah hingga Johor. Cubaan Mahathir mengekploitasi kes anak tiri Najib juga telah ‘makan diri’ Mahathir apabila pendedahan dilakukan pihak SPRM. Jadi apa pilihan yang tinggal untuk Mahathir serang Najib dan Umno khususnya? Dengan hanya menggunakan platform media sosial, Najib telah menghantui Mahathir dan Pakatan Harapan sepenuhnya.

Mahathir Sudah Hilang Sentuhan Politik

Menyedari sudah tidak mampu menyerang Najib, serangan Mahathir kini tertumpu pada Muhyiddin dan Perikatan Nasional. Bagaimanapun serangan Mahathir agak tumpul dan hanya berlegar mengenai sejarah penubuhan, objektif penubuhan dan janji janji Muhyiddin ketika bersama dalam PH. Rakyat menilai apa motif serangan serangan ini yang menjurus kepada perebutan kuasa sedangkan banyak lagi perkara membabitkan negara perlu diutamakan kerajaan semasa menghadapi pasca covid19. Ekonomi perlu dipulihkan, kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik perlu diselesaikan tetapi Mahathir hanya tumpu untuk menjadi PM buat kali ke-3?

Anwar Akan Capai Impian Bukan Lagi Bakal PM?

Dalam keghairahan serangan Mahathir, Anwar Ibrahim yang kini mengetuai Pakatan Harapan dilihat mengambil sikap tunggu dan lihat. Mungkin mahu meredakan ingatan rakyat terhadap rakaman audio Mesyuarat Majlis Presiden PH dan mahu audio mesyuarat MPT BERSATU berlegar lebih lama. Strategi seperti yang sedang dilakukan Anwar dalam diam sebenarnya menjadi ‘Turning Point’ kepada PH sekiranya mereka mahu mematikan pengaruh Mahathir dalam PH. Jelas sekali suara mirip Mahathir memberitahu yang hadir dalam mesyuarat BERSATU, beliau tidak suka Anwar dan tidak suka DAP. Inj senjata paling ampuh buat Anwar untuk ‘memulang paku buah keras’ kepada Mahathir apabila sampai masanya. Mahathir perlukan sokongan PKR, DAP dan AMANAH serta WARISAN bagi undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dan mungkin ketika itu Mahathir akan tersedar segala langkah percaturannya sudah pincang dan harapan untuk kembali menjadi PM akan berakhir. Ketika itu Anwar pula akan berjaya gapai impian 21 tahunnya selepas menyandang gelaran ‘Bakal PM’ selama 2 dekad.

 

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: