Ponteng puasa ‘jamu’ dadah

BUKAN hanya tidak puasa malah dua lelaki dikesan leka menagih dadah di bawah sebatang pokok berhampiran sebuah rumah di FELDA Pasoh Tiga, Jempol, Negeri Sembilan di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kedua-dua suspek diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jempol yang melakukan operasi di kawasan itu.

Katanya, kedua – dua suspek yang tidak menghiraukan bulan puasa, menyedari kehadiran polis dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan polis di dalam poket seluar suspek berusia 44 tahun menemui tiga paket plastik dadah jenis heroin seberat 24.1 gram. Polis yakin suspek terbabit adalah pengedar dadah.

“Polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lagi suspek berusia 41 tahun yang juga penagih tegar. Kami menemui satu paket plastik dadah heroin seberat 1 gram di dalam seluarnya.

“Polis turut menemui satu bekas plastik yang diubah suai menjadi alat untuk menghisap dadah,” katanya.

Mohd Khairiel berkata, suspek berusia 44 tahun ditahan adalah penduduk tempatan dan bergiat aktif mengedar dadah di kawasan FELDA Pasoh Tiga dan kawasan sekitar sejak dua bulan lalu.

Katanya kedua – dua suspek yang ditangkap positif dadah jenis morpin dan dadah yang dirampas bernilai RM1,150.

“Kedua – dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Rabu depan dan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: