Armada boleh berkembang jauh tanpa Syed Saddiq – Wan Ahmad Fayhsal

 

PUTRAJAYA, 2 Jun  — Armada boleh berkembang jauh walaupun tanpa pengasas sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Ahmad Fayhsal, antara yang akan bertanding bagi jawatan ketua Armada pada pemilihan parti akan datang, berkata walaupun tidak dapat dinafikan sumbangan dan jasa Syed Saddiq selaku antara pengasas Armada namun perjuangan parti adalah lebih besar.

Beliau yang juga ketua penerangan Bersatu Titiwangsa berkata keahlian Syed Saddiq dan empat individu lain dalam Bersatu gugur secara automatik kerana melanggar fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti dan bukannya dipecat.

Mengikut fasal 10.2.2 Perlembagaan parti menyatakan bahawa keahlian parti terhenti apabila ahli mengisytiharkan keluar dari parti, manakala fasal 10.2.3 menyatakan keahlian terhenti jika ahli menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain.

Menurutnya, antara tindakan yang melanggar Perlembagaan parti adalah duduk di blok pembangkang pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini dan beberapa insiden sebelum ini yang menggambarkan tidak bersama dengan hala tuju dan dasar yang diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk bersama Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang sah pada hari ini.

“Maka sebesar mana pun tokoh itu dan sebanyak mana jasa mereka kepada parti, dasar dan falsafah perjuangan itu lebih besar, dan itu menjadi kayu ukur kepada masa depan parti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal, yang merupakan bekas pegawai khas Syed Saddiq, berkata beliau berdukacita dengan pilihan Syed Saddiq untuk tidak bersama hala tuju parti dan menganggapnya satu kehilangan besar kerana bakat pemimpin muda itu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: