‘Bagi apa saja Dynas buat’

KUALA LUMPUR: Enam belas tahun mengabdikan diri dalam dunia lakonan, kemampuan Dynas Mokhtar menghidupkan watak tidak boleh dipertikaikan lagi.

Menarik perhatian melalui watak ibu tiga anak, Norizah dalam drama Korban Kasih yang disiarkan TV1, Ramadan lalu, Dynas mengundang kebencian penonton dengan aksinya yang ‘hidup’.

Bercerita pengalaman berlakon dalam drama arahan Pali Yahya itu, Dynas mengaku gementar kali pertama mendapat tahu karakter yang dibawa.

“Namun, selepas membaca skrip, watak Norizah sangat menyeronokkan. Saya tidak menyesal membawa watak ini.

“Tidak sangka kesannya cukup besar dan mendalam kepada penonton. Malah, watak ini sungguh dibenci,” katanya kepada BH Online.

Dynas berkata, watak Norizah berbeza daripada karakter antagonis yang pernah dibawakan.

“Norizah banyak bermain dengan emosi sebagai ibu, isteri dan anak. Dia bukan wanita jahat. Namun, watak itu dicipta dengan 1,001 persoalan,” katanya.

Drama Korban Kasih yang turut dibintangi Azrel Ismail, Saharul Ridzwan, Zara Zya dan Ummi Nazeera membuatkan Dynas melonjak semula.

“Tidak kira watak apa sekalipun, saya akan cuba menghidupkannya sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Dynas berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sepanjang Ramadan, hampir setiap hari dia mencuba menu baharu.

“Selain memasak, saya dapat memberi tumpuan 100 peratus kepada anak-anak dan suami. Masa inilah saya dapat kemas rumah betul-betul.

“Saya juga dapat bersenam di rumah biarpun tidak boleh pergi ke gimnasium,” katanya.

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: