Farawahida tak pernah berhenti menyanyi

KUALA LUMPUR: Tidak pernah hilang daripada radar seni, penyanyi, Farawahida Razali masih aktif memenuhi undangan nyanyian sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bagaimanapun, ramai yang menyangka bekas peserta Gegar Vaganza musim kelima itu meletakkan titik noktah pada kerjaya nyanyian apabila tidak memiliki single baharu sejak tiga tahun lalu.

“Saya masih menyanyi dan menerima undangan menjayakan persembahan. Cuma, siapa yang mengikuti dalam laman sosial tahu mengenai perkembangan kerjaya nyanyian saya. Kerana segala aktiviti berkaitan dengan kerjaya seni dikongsi dalam Instagram (IG).

“Namun, saya tidak nafikan kerjaya nyanyian agak terjejas sejak tempoh PKP. Banyak undangan persembahan dibatalkan dan ditangguhkan. Sesetengah penganjur sudah membayar wang pendahuluan, tetapi nasib baik ada antara mereka boleh bertolak ansur.

“Bagaimanapun, saya bersyukur biarpun dalam tempoh PKP diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) saya diundang oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjayakan persembahan Nyanyi Dari Rumah. Selain itu, Ezad Lazim pula mengundang saya menjadi rakan duet untuk lagu raya berjudul Dah Raya, beberapa minggu sebelum Aidilfitri,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman menjayakan persembahan Nyanyi Dari Rumah anjuran RTM, Farawahida menjelaskan, ia adalah pengalaman baharu yang mencabar buatnya.

Farawahida berkata, pengalaman merakamkan sendiri video nyanyian nyata cukup mencabar. Bagaimanapun, dia perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu itu.

“Mungkin disebabkan faktor usia yang mencecah 35 tahun menyebabkan saya kurang berminat merekodkan segala aktiviti harian seperti dilakukan personaliti media sosial yang kebanyakan masih muda.

“Disebabkan itu, saya menghadapi kesukaran untuk merekodkan video nyanyian sendiri. Apabila ambil video untuk diri sendiri, saya hanya ambil dari sudut depan.

“Bagaimanapun, untuk program televisyen (TV), caranya tidak sama. Saya dikehendaki merakamkan video daripada beberapa sudut, jadi agak berpeluh juga pengurus merakamkan video saya.

“Satu lagi bahagian sukar apabila saya hanya boleh mendengar lagu melalui fon telinga. Saya seolah-olah menyanyi tanpa muzik kerana bahagian memasukkan muzik akan dilakukan pihak RTM, jadi bahagian ini agak mencabar untuk saya,” katanya.

Penyanyi berwajah eksotik yang pernah menerima jolokan Kajol Malaysia itu berkata, dia berdepan kesukaran sama apabila menghasilkan muzik video lagu Dah Raya.

“Ada bahagian dalam muzik video ini perlu dirakamkan sendiri. Agak rumit kerana saya terpaksa menukar beberapa pasang baju, tetapi ia satu pengalaman baharu yang menyeronokkan.

“Maklumlah, sebelum ini, saya tidak berminat membuat kandungan video untuk media sosial, tetapi apabila terpaksa buat kelam kabut jadinya,” katanya.

Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2007 itu berkata, dia sudah tiga tahun tidak memiliki single terbaharu, kali terakhir menerusi lagu duet bersama Datin Alyah berjudul Mengapa Harus Aku.

“Saya berharap dapat memiliki single baharu, tahun ini. Oleh kerana perlu mengeluarkan modal sendiri, jadi saya harus meneliti dari mula hingga akhir pembikinan lagu.

“Saya perlu memilih lagu yang bersesuaian. Mungkin lagu sedap pada pendengaran saya, tetapi belum tentu pendengar suka, itu yang membuatkan saya takut.

“Soal modal juga perlu diambil kira. Saya bergerak sendiri dan perlu mengeluarkan duit simpanan, jadi tentulah mengambil masa berbanding penyanyi yang bernaung dengan syarikat rakaman,” katanya.

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: