COVID-19: Thailand catat dua hari berturut-turut tanpa sebarang kes dan kematian

BANGKOK, 28 Jun — Thailand mencatatkan dua hari berturut-turut tanpa sebarang kes baharu dan korban, menjadikan jumlah kes keseluruhan kekal pada 3,162 dengan lima kematian.

Hari ini merupakan hari ke-34 Thailand tidak menyaksikan jangkitan tempatan.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thailand pula berkata sejumlah 51 pesakit masih menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Pertahanan Lt Jen Kongcheep Tantravanich berkata Timbalan Menteri Pertahanan Jen Chaichan Changmongkol telah mengarahkan angkatan tentera untuk membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19 di negara itu yang dijadualkan membuka semula perniagaan dan venue termasuk sekolah bermula 1 Julai ini.

Kongcheep berkata anggota tentera akan memberi bantuan kepada sekolah untuk memastikan setiap orang mengamalkan penjagaan kebersihan dengan baik dan penjarakan sosial.

“Jen Chaican juga menggesa angkatan tentera meningkatkan kapasiti kemudahan kuarantin untuk rakyat Thai yang kembali dari luar negara,” kata beliau seperti dilaporkan oleh akhbar Bangkok Post.

Dengan keadaan COVID-19 di negara itu yang semakin baik, semua perniagaan dan venue termasuk pusat hiburan seperti pub, bar dan karaoke, kafe siber dijadualkan beroperasi semula Rabu ini.

Perdana Menteri General Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat CCSA esok untuk memuktamadkan senarai perniagaan dan venue yang bakal dibuka semula.

— BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!
%d bloggers like this: